Sabtu, Oktober 25, 2008

Cinta Atas Iman

Tiada apa lagi yang kuhasratkan
tiada apa lagi yang menjadi dambaan
ku hanya dambakan seorang
insan bernama isteri yang
cintanya atas agama, atas iman
buat menjadi pendamping setiaku
buat menjadi penawar resahku
menguatkan semangat pada diriku.

Benarlah sabda kekasihNya
"nikahilah wanita kerana agamanya
nescaya kamu beruntung"
benarlah wanita solehah
penyejuk di hati ini.

Keindahan namamu
ada makna mendalam
yang menyejukkan kalbu
kejernihan wajahmu
terpancar ketenangan
lahir dari relung nurani
muthmainnah
keayuan peribadimu
begitu tawaduk
lahir dari nur iman
di kalbu.

Cintaku padamu bukan
semata-semata cinta
cintaku padamu atas agama
cintaku padamu atas iman
cintaku padamu atas taqwa.

Kuterpikat padamu kerana agamamu
kutertawan padamu kerana kesolehanmu
kuterpesona padamu kerana taqwamu.

Kita saling menasihatkan
diri ini melalui
bait-bait hikmah yang
mengesankan di hati.

Kau selalu mengingatkan diri ini
pada semangat perjuangan Islami
itu yang menjadikan
ku semakin kagum padamu.

Alangkah indah hidup ini
jika cinta disandarkan kerana iman
jika cinta disandarkan kerana Ilahi.

Alangkah sempurna hidup ini
jika dalam diri ada kalimah cinta
dia mencintai Ilahi
dia mencintai Nabi
dia mencintai ulama dan orang soleh
dia mencintai insan keranaNya
dia mencintai Islam dan perjuangannya
di situ terkumpul semuanya
ada kalimah cinta, kalimah iman
dan kalimah taqwa
yang akan membawamu memasuki
jalan bahagia dan penuh ketenangan.

M.A.Uswah,
Sandakan,
16 Oktober 2008.

Kamis, Oktober 23, 2008

Kasturi Salaf Dan Orang Soleh

Menyusuri perjalanan silam
menempuhi debu pasir
agar bisa membuka kitab sejarah.

Banyak lagi kitab sejarah belum dibuka
ramai lagi manusia belum mengetahui
kitab sejarah yang jarang ditemui.

Siapakah itu Ibnu Umar?
Siapakah itu Ibnu Mubarak?
Siapakah itu Sufyan at-Thauri?
Siapakah itu Sufyan Uyainah?
Siapakah itu Hasan al-Basri?
Siapakah itu Ibnu Sirin?
Itulah kitab sejarah belum dibuka
itulah kitab sejarah belum dikenali
itulah kitab sejarah jarang ditemui
itulah kitab sejarah para salaf dan orang soleh.

Marilah kita mengenali Imam Abu Hanifah
marilah kita mengenali Imam Malik
marilah kita mengenali Imam Syafie
marilah kita mengenali Imam Ahmad
marilah kita mengenali Imam Abu Daud
marilah kita mengenali Imam Nawawi
kita ikutilah jejak mereka
kita hayatilah biografi mereka
kita bacalah karya-karya mereka
kita akan menjadi umat terbaik.

Sungguh pada diri mereka
memiliki kasturi iman
memiliki haruman akhlak
memiliki aroma taqwa
yang akan menyebarkan wangian
bagi siapa yang hendak memakainya.

M.A.Uswah,
Sandakan,
16 Disember 2005.

Jumat, Oktober 17, 2008

Haruman Kehidupan

Tiada apa lagi yang kuinginkan
dalam hidup ini
setelah menempuhi derasnya cabaran
aku inginkan kehidupan yang
penuh barakah
aku inginkan suasana keluarga Islami
yang soleh solehah
aku ingin meninggalkan jagatraya ini
dengan jasa dan bakti mengharumkan
yang bisa dipetik manfaatnya
yang bisa dipetik hikmahnya.

M.A.Uswah,
Sandakan,
16 Oktober 2008.