Kamis, Juni 26, 2008

Insan Bernama Wanita Solehah

Dirimu bak kasturi yang mewangi
harumannya bergentayangan di persada bakti
menjadi kebanggaan para suami
yang sanggup membela pengorbanan isteri.

Dalam erat ketaatanmu kepada Ilahi
dalam rapat ikutanmu kepada Nabi
kau sentiasa memakai jilbab menutupi diri
supaya menjadi muslimah yang sejati.

Teladanilah peribadi Ummul Mukminin
mereka memiliki khazanah watak menakjubkan
pakailah mereka sebagai tudung ikutan
yang menutupi aurat keluhuran.

Sedarilah wahai para srikandi
dirimu telah dibela Nabi
indahkanlah dirimu dengan iman di hati
pesonakanlah dirimu dengan taqwa di sanubari.

Dunia ini umpama lautan perhiasan yang indah
sepesona perhiasan adalah permata wanita solehah
yang telah terpateri jiwa ilmu dan mahabbah
kaulah sesungguhnya insan bernama wanita solehah.

M.A.Uswah,
Sandakan,
14 Disember 2006.

Desiran Sunnah

Dedaunan berterbangan
angin bertiup kencang
lautan bergelora.

Rasa dingin di malam hari
sunyi sepi tanpa cahaya
hitam menyelubungi.

Bilakah lagi masanya
untuk mengikuti sunnah?

Musim berubah demi musim
cuaca berubah demi cuaca
abad berubah demi abad.

Sunnah tetsp tidak berubah
ia terus berdesir untuk diikuti
selagi insan mahu menjejakinya.

Jejakilah sunnah, ikutilah ia
hidup pasti di bawah rahmatNya.

M.A.Uswah,
Sandakan,
10 November 2005,

Menuntut Ilmu

Ilmu
menuntutnya adalah
wajib.

Ilmu
harus diamalkan
untuk kebaikan
diri sendiri dan
insan lain.

Menuntut ilmu
bukannya untuk
menjadi pandai
bukannya untuk
mendapat pengiktirafan
seperti sijil atau
ijazah
bukannya juga
untuk berlumba-lumba.

Menuntut ilmu
adalah kerana Allah
disuruh oleh Allah.

Menuntut ilmu
untuk mengetahui
sesuatu perkara
supaya sentiasa
dalam kebenaran.

Tuntutlah ilmu
dari hujung pena
hingga pintu kubur.

M.A.Uswah,
Sandakan,
2005.

Pengembaraan Rohani

(Berdasarkan pengalaman rohani sebenar)

Mengembara mengharungi hutan
mengembara merenangi lautan
mengembara mendaki pergunungan
mengembara melalui lorongan
mengembara melintasi kedurian
mengembara menjejaki warisan
mengembara menerima rintangan
mengembara menempuh dugaan
mengembara menghadapi cabaran
mengembara merasai keinsafan
mengembara membeli kehambaan
mengembara mengalir kerohanian
mengembara melazati kekhusyukan
mengembara menikmati kecintaan.

M.A.Uswah
Sandakan,
18 Ogos 2004.

Rohani Berjalan

(Karya saya yang pertama kali tersiar di majalah Dewan Sastera, Ogos 2007)

Rohani berjalan
bermusafir melihat
kebesaran Tuhan.

Rohani berjalan
menuju ke masjid
rumah Tuhan.

Rohani berjalan
beruzlah membaiki diri
yang mempunyai kelemahan.

Rohani berjalan
bertafakur merenung diri
memikirkan keagungan Tuhan.

Rohani berjalan
mengingati Tuhan
pada setiap masa.

Rohani berjalan
jauh berpandangan
dengan wahyu dan sabda.

Rohani berjalan
bersama pertolongan
daripada Tuhan.

M.A.Uswah,
Sandakan,
16 Ogos 2004.

Bicara Hati


Aku biarkan pena menulis
meluahkan isi hati
yang lama sudah
terpendam di jiwa.

Aku biarkan lembaran berbicara
menghuraikan segala maksud hati
agar hilang segala
keresahan di jiwa.

Maafkanlah ibu ayah
maafkanlah guru
maafkanlah saudara
maafkanlah sahabat
jikaku melukai hatimu.

Aku mohon pada Ilahi
agar ditunjukkan
jalan kebenaran.

Moga ikatan ukhuwah
yang kita bina
terjalin ke akhirnya.

M.A.Uswah,
Sandakan,
2 Oktober 2004.

Jalan Yang Benar

Jalan yang benar
adalah Al-Quran
menjadi panduan
menjadi petunjuk.

Jalan yang benar
adalah As-Sunnah
menjadi amalan
menjadi ikutan.

Jalan yang benar
adalah Salafus Soleh
menjadi sebaik-baik
manusia untuk diikuti
menjadi ikutan
sepanjang zaman.

M.A.Uswah,
Sandakan,
8 Ogos 2004.

Persoalan Yang Tiada Jawapan?

Bagai haiwan liar

terlepas dari sangkar

mencari mangsa untuk dimakan

tidak kira kecil atau besar

membunuhnya dengan kejam.

Mengapakah kita di zaman ini

tidak diberi pertolongan?


Kita dibiarkan ditindas

pergi berjuang pun masih kalah lagi

musuh terus menindas dan menzalimi.

Adakah kita perlukan kedamaian?

Atau biarkan kita terus ditindas

biarkan kita terus menderita?


Sebenarnya kita ini

cinta dunia

dan takut mati

menyebabkan kita ditindas

kemenangan hanya

berpihak kepada musuh.


Apakah yang harus kita lakukan sekarang?

Menunggu soalan baru menjawab?

Membiarkan tak ada jawapan

membiarkan begitu saja

baikilah dulu diri kita.


M.A.Uswah,

Sandakan,

22 Ogos 2004.

Puisi

Puisi
mendengarkannya diizinkan
Nabi mendengarkan puisi.

Puisi untuk dihayati
puisi untuk dibaca
puisi untuk didengar
apabila dihayati
menimbulkan kesedaran.

Jika isi puisi
itu baik, ambillah
jika isi puisi
itu buruk, buanglah.

Puisi
adalah jihad
dengan kata-kata yang indah
dalam menegakkan
syiar Islam.

Dengarlah puisi
bacalah puisi
hayatilah puisi
selagi menepati
syariat.

M.A.Uswah,
Sandakan
,
Julai 2004.

Sirah Insan Teladan

Dia pesuruh Allah
lahir sebagai anak yatim piatu
tetapi membesar dengan membawa rahmat.

Ketika beruzlah di Gua Hira'
datanglah malaikat Jibril membawa wahyu
mengajar Nabi menyebut Iqra’.

Menyebarkan Islam bermulalah sudah
di Makkah sedikit saja yang percaya
berhijrahlah Nabi dan sahabat ke Madinah.

Sampai di Madinah disambut dengan meriah
mulalah Nabi dan sahabat membina Masjid Quba
Ansar pula menghulurkan bantuan.

Bermulalah misi dakwah
bersaudaralah Muhajirin dan Ansar
saling bersatu padu berkasih sayang.

Dialah kekasih Allah
kehidupannya sederhana sekali
rela berkorban demi umatnya.

Akhlak mulia menjadi kebiasaan Nabi
dia mudah memaafkan, senyumnya memikat hati
berkasih sayang kepada semua makhluk.

Pemergian Nabi ditangisi
Umar terus menghunuskan pedangnya
Abu Bakar datang meredakan suasana.

Dialah insan teladan
meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah
supaya menjadi panduan kepada umatnya.

M.A.Uswah,
Sandakan
,
25 Julai 2004.

Rabu, Juni 25, 2008

Umar Al-Khattab

Dialah seorang sahabat Nabi
sebelum Islam, menentang Nabi kuat sekali
selepas Islam, menjadi seorang yang disegani.

Dialah Al-Faruq
pemisah antara hak dan batil
demi Islam yang agung.

Dialah seorang khalifah
kehidupannya sangatlah sederhana
rela berkorban demi rakyatnya.

Dialah Amirul Mukminin
memerintah dengan adil
dengan ketegasan yang menyedarkan.

Dialah seorang penakluk
yang banyak menguasai wilayah
demi Islam yang suci.

Dialah Umar Al-Khattab
dialah Khulafa ar-Rasyidin kedua
dialah pemimpin berjiwa hamba.

M.A.Uswah,
Sandakan,
25 Julai 2004.