Minggu, November 02, 2008

Ramuan Seni

Ramuan seni telah dihidangkan
umpama hidangan secawan teh
di pagi hari
buat dinikmati penikmat seni
untuk merasai manisan hikmah.

Pada dirinya memiliki
aneka ramuan seni
ada seni pena, seni irama
seni filem, seni lukis
seni kaligrafi, seni pertahanan diri
dan seni silap mata
yang bisa menjadikannya
perenung kehidupan
pengamat jagatraya
pemikir ilmu
dan pengubah dunia.

Seluruh hayatnya
telah dia tuangkan air waktunya
ke dalam cawan seni
telah dia buat satu ramuan hikmah
untuk hidangan umat.

Seluruh waktunya
telah dia gunakan untuk berkarya
telah dia tuangkan segala air ilham
untuk dijadikan manisan ilmu
untuk dijadikan manisan manfaat
untuk dijadikan manisan warisan
untuk dijadikan manisan khazanah
buat minuman umat.

Itulah aneka ramuannya
itulah jenis hidangannya
buat umat sejagat
sebagai kenangan pengingat rasa
akan secawan teh yang nikmat
akan satu ramuan seni yang enak
setelah dia jauh pergi dari
jagatraya ini.

Pasti insan yang pernah
merasai secawan tehnya
yang pernah merasai ramuannya
akan teringat selalu rasa teh dan ramuannya
akan teringat siapakah pembuatnya.

Mereka akan membuat lagi
secawan tehnya
mereka akan membuat lagi ramuannya
dengan membongkar karya-karyanya
dengan mencari kitab-kitabnya
untuk dinikmati sekali lagi.

M.A.Uswah,
Sandakan,
21 Oktober 2008.

1 komentar:

asyima binti dollah mengatakan...

secawan yg dinikmati,
semoga selamanya diberkati..